sketsa.zoom-a.com
[schoolname]
[address] Tel : [tel], Faks : [fax]
e-mel : sketsa@zoom-a.com
| LAMAN UTAMA | MULA | KATA ALU-ALUAN | SEJARAH | LOGO SEKOLAH | LAGU SEKOLAH | PANORAMA | VISI & MISI | STAF AKADEMIK | STAF SOKONGAN | PIBG | BULETIN SKETSA | RENUNGAN | BUKU PELAWAT | LAGU PENGAKAP | lain-lain lagu | Untitled | BERITA BERGAMBAR | Untitled |




RENUNGAN

Sesungguhnya Allah itu indah....
Dan suka akan keindahan...




KULIAH MINGGU INI
(17 Febuari 2006)
MENJENGAH ALAM TASAWUFF
 Disusun Oleh :En. Shahrul Nizam B. Mohd Isa

DOSA YANG MEMBAWA KEPADA KEHAMPIRAN


Terjemahan Tok Pulau Manis, dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra

Terkadang Allah membuka untukmu pintu taat, tetapi belum dibukakan bagimu pintu qabul, sebagaimana ada kalanya ditakdirkan engkau berbuat dosa tetapi menjadi sebab Wasil ilaLlah.


Alhamdulillah, kita masih lagi dibawa untuk memahami dengan sedetail-detailnya pengertiaan berkaitan dengan wajah kurnia dalam tegah dan tegah dalam kurnia; dan kali ini ianya menjejaki kepada rupa wajah yang lebih halus dan seni, yang jarang sekali kebanyakan manusia dapat memahami tanpa cahaya petunjuk dari Allah Taala.

Wajah Tegah dalam Kurnia terkadang boleh berlaku kepada seorang hamba yang diberikan keupayaan dan kekuatan untuk mendirikan pelbagai amal taat namun sayangnya segala amalan yang dikerjakan itu hampa dan kosong serta ditolak daripada diterima oleh Allah Taala. Inilah yang bahayanya bagi seorang yang rasa sudah selesa dan senang hati kerana memiliki kerajinan dan ketekunan dalam mendirikan amal ibadat.

  • Rajin mengerjakan amalan-amalan sunat dengan banyak tetapi ditolak oleh Allah Taala,
  • Rajin berwirid dan berzikir siang dan malam, tetapi amalan menjadi debu dan habuk malahan semakin jauh dengan Allah Taala,
  • Rajin membaca Al-Qur'an, tetapi tidak diberikan sebarang pahala jauh lagi daripada memahami berlapis-lapis maksud di sebalik sesuatu kalimah,
  • Rajin menuntut ilmu, mentelaah kitab, menyebarkan ilmu tetapi tidak sedikitpun dapat memberi manfaat untuk dirinya.
Wajah Kurnia dalam Tegah pula, ialah seperti dihalang seseorang daripada dapat melakukan amal taat sebagaimana semestinya; bahkan sering terjerumus dengan dosa dan maksiat, tetapi alangkah nikmatnya dosa-dosa yang dikerjakan itu menjadi sebab bagi dirinya untuk sampai kepada Allah Taala.

Hairan juga, yang taat semakin jauh dengan Allah, tetapi yang berdosa semakin dekat dengan Allah. Inilah sebahagian wajah kurnia dalam tegah dan wajah tegah dalam kurnia yang akan kita perhalusi dalam pengajian kali ini.

Kadang-kadang(bukannya selalu atau bukan semestinya begitu), dibukakan bagimu pintu taat dengan rajin dan tekun untuk mendirikan dan menambah, mempertingkatkan setiap amalan kebajikan yang disukai oleh syarak.

  • Rajin sembahyang dan puasa,
  • tekun dalam menuntut ilmu,
  • bersemangat dalam berwirid dan berzikir,
  • suka menganjurkan kebaikan untuk diri sendiri dan umum dan
  • sentiasa cenderung untuk melipatgandakan amal taat yang sedia ada.
Tetapi malangnya, ...... semua amal taat dan kebajikan yang dikerjakan itu tiada dibukakan bagimu pintu Qabul yakni tidak diterima oleh Allah. Dengan kata lain amal taat yang mengunung tinggi banyak sekali pun yang kita kerjakan belum tentu dapat menjamin diterima oleh Allah Taala. Bila sudah tidak diterima, maka semakin menjauhlah hamba itu dengan Tuhan-Nya.

Banyaklah punca dan sebab-sebabnya yang menjadikan amal taat itu tidak diterima, tetapi yang paling besarnya ialah wujudnya hama syirik dalam ibadat; paling tidak, ... menilik dan memandang kepada keupayaan diri. Orang yang bersyirik adalah mereka yang menduakan Allah. Bila dua, maka terlontar jauhlah diri daripada mencapai hakikat Keesaan atau Tauhid.

Apabila jalan taat dan kebaikan tidak dapat menghampirkan diri hamba dengan Tuhan-Nya, sebagai satu Kurnia dari Yang Bersifat Pengasih lagi Penyayang, maka dihukum denganmu dosa yakni maka Allah akan menjatuhkan dirimu kepada suatu dosa dan maksiat yang amat kau kesali. Dalam baik-baik kita mengistiqamahkan amal kebajikan dan ketaatan kepada Allah, maka tiba-tiba timbul satu musibah yang menyebabkan diri tersilap dan terjerumus ke dalam najis dosa dan maksiat. Mungkin tanpa disedari kita telah mengkhianati saudara kita dengan terpaksa menipu atau menindas mereka demi untuk menjaga maruah dan harga diri kita atau keluarga. Mungkin tanpa sengaja, kita terambil hak orang lain yang lebih memerlukan demi untuk memelihara keperluan diri dan mungkin apa sahaja yang menjadikan diri kita bertindak tidak mengikut jalan yang diredhoi oleh Allah. Bila disedari akan kesilapan dan kesalahan diri itu, betapa hati(orang mukmin) akan menyesali, menjadi berterbangan segala jantung kerana takutkan pembalasan Allah.

Tersumbat hati dengan dirasai bahawa tidak satu makhluk pun yang dapat membersihkan najis yang terpalit itu, malah dirasakan tidak ada sesuatu yang dapat menolong dan membantunya melainkan Allah Taala Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengampuni. Maka adalah dosa itu akan sebab sampaimu kepada-Nya yakni dengan dosa dan penyesalan itu akan membukakan pintu kesedaran bahawa tidak ada sesuatu lagi melainkan Allah sahaja yang dapat membantunya. Hati yang penuh kesedaran ini sahajalah yang akan sampai kepada Allah.

  • Tunduk dan merendahkan diri dengan penuh kehinaan dan kedhoifan.
  • Sedar betapa lekeh dirinya,
  • betapa hina dan jahat dirinya ,
  • betapa lemahnya diri dan segala sesuatu yang lain,
  • betapa dhoif diri sendiri hingga tidak berupaya menguruskan kehidupan dengan baik,
yang menjadikan diri lemah longlai tersandar di dinding tanpa ada ruang lagi di sekeliling dengan memandang dan mengharapkan pertolongan belas ihsan dan kebaikan melainkan dari Allah semata-mata. Keadaan inilah, dengan hati yang merujuk terus kepada Wajah Allah tanpa sebarang tolehan kepada yang lain; akan membawa seseorang berhadapan dengan Hadirat-Nya. Hal ini tidak sebagaimana yang biasa terjadi kepada ahli taat yang memandang akan wujud upaya dirinya.

Inilah ciri-ciri seorang hamba yang mukmin kerana orang yang mukmin itu apabila jatuh daripada dosa, maka jadilah ia menyesal dan Ihtiqar dirinya. Maka adalah demikian itu sebab dalam sampaimu.

Tegasnya sewaktu taat tidak dibukakan pintu kehampiran kerana punya hama syirik yang menilik upaya diri, sebaliknya pintu kehampiran itu dibukakan buat yang berdosa tetapi menyesali dan menyedari lemah dirinya(dengan maksud tidak wujud sesuatu kuasa yang dapat menolong dirinya bagi mendapat sesuatu kebaikan melainkan dengan limpah kurnia dari Allah Taala)

Setelah diketahui betapa sia-sianya memandang kepada upaya diri dalam mendirikan taat, maka wajiblah bagi hamba yang ingin mencapai kehampiran dengan Allah tidak menilik kepada segala surah(rupa) sesuatu[amal] yakni;

  • Tidak menilik kepada banyak sedikitnya amal atau;
  • Tidak menilik kepada kecantikan dan kebaikan amal itu;
  • Tidak menilik kepada habuan diri seperti keramat dan kemuliaan;
  • Tidak menilik kepada balasan syurga dengan segala nikmatnya;
  • Tidak menilik kepada tempat itu dan ini(depan orang buat, di belakang orang tidak buat, atau di masjid banyak beramal tetapi di tempat lain rasa kurang untuk beramal);
  • Tidak ujub dengan kehebatan diri dalam mendirikan pelbagai taat yang jarang dapat dikerjakan oleh kebanyakan orang;
Bahkan sebagai seorang hamba yang sedar diri hendaklah menilik ia kepada segala hakikatnya yakni Kehendak Allah, Kekuasaan Allah, Kekayaan Allah, Kemurahan Allah dengan segala Limpah Kurnia-Nya. Bersyukur dengan memandang kepada Allah Yang Memberi bukannya kepada apa yang diberikan .

Kenapa dan mengapa sehingga wajib seorang hamba itu menilik kepada segala hakikatnya bukan kepada segala rupa amalannya?

Ini adalah kerana segala wajah taat itu tiada menghendaki ia akan wujud qabul baginya yakni Allah tidak memandang kepada zhohir dan rupa segala bentuk amal ibadat sebagai syarat penerimaan diterima sesuatu amalan tersebut, kerana pada seorang yang memandang kepada wajah taat atau keupayaan dirinya menunjukkan mereka masih dibayangi oleh ifat(penyakit) yang memberi kecederaannya daripada tiada ikhlas dalamnya yakni penyakit-penyatkit seperti riya', ujub, takabbur dan sebagainya yang sememangnya sukar untuk dilihat seumpama semut hitam yang berjalan di atas batu hitam pada waktu yang kelam.

Dengan adanya hama penyakit yang menyelinap di sebalik sesuatu ketaatan itu, maka jauhlah amalan tersebut daripada memasuki pintu qabul atau penerimaan oleh Allah Taala.


Jika terkadang ketaatan yang didirikan itu boleh melontarkan jauh seorang hamba daripada pintu kehampiran dengan Tuhan-Nya, demikianlah pula kadang-kadang dosa dan maksiat yang dikerjakan oleh seorang hamba itu boleh menjadi sebab untuk sampai kepada Tuhan-Nya, masuk ke dalam Hadirat-Nya Yang Maha Mulia. Keadaan ini amat ajaib dan susah sekali untuk diterima oleh kebanyakan orang yang tidak memahami pokok hakikat ini. Namun yang pastinya di sisi orang-orang sufi terkadang dosa itu membawa rahmat kepada mereka sehingga ada yang berkata; terkadang dosa itu memasukkan ia ke dalam syurga.

Kenapa boleh jadi terbalik hukumnya di sini? Yang banyak mengerjakan amal taat dijauhkan dari pintu rahmat Tuhan sedangkan yang mengerjakan maksiat ditarik masuk ke dalam pintu Rahmat-Nya.

Penjelasan ini boleh kita perolehi dari............Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis


Mengikut pandangan mereka yang suci faham dan luas ilmu, jika seorang hamba mengerjakan amal kebajikan serta dibaikkannya sewaku mengerjakannya seperti

  • menganggap dirinya yang baik dan sholeh,
  • mana ada orang lain yang sanggup buat amal seperti aku,
  • betapa tekun dan rajinnya aku berwirid atau menuntut ilmu,
  • betapa bersungguh-sungguhnya aku dalam mujahadah,
  • betapa seronok dan bersemangatnya aku dalam mengerjakan amar makruf dan nahi mungkar;
maka orang yang membaikkan amalannya seperti ini, meletakkan dirinya dalam lembah kejahatan dan tiada menjadikan Allah daripada kejahatan ini yang terlebih memberi mudhorat bagi dirinya. Betapa tidak memberi mudhorat sedangkan dalam amal taat itu tumbuh pelbagai virus dan penyakit hati seperti ujub, suma'ah, riya', sombong dan takabbur, syirik dan sebagainya lagi. Namun bagi para salik, ada lagi yang terlebih memberi mudhorat kepadanya sebagaimana yang pernah diucapkan oleh seorang Sufi sebagaimana berikut;

Kepentingan untuk diri sahaja adalah racun yang bisa bagi orang yang masih murid.

Keterangan dan Huraian Selanjutnya oleh Tok Pulau Manis


Berbeza dengan seorang hamba(mukmin) yang mengerjakan dosa dan maksiat, maka dijahatkannya pada ketika mengerjakan dia;

  • dengan memandang kepada dhoifnya diri
  • dengan menilik kepada lemahnya upaya dalam mengatur urusan hidupnya;
  • dengan menyesali di atas keterlanjuran diri
  • dengan merujuk dan bertaubat kepada Allah
  • di mana dengan semuanya tiada menjadikan Allah Taala daripada kebajikan yang terlebih memberi manfaat bagi dirinya.
Betapa tidak memberi manfaat untuk dirinya kerana dengan memandang kepada dhoifnya diri, lemahnya upaya, hinanya diri, merujuk dan kembali kepada Allah, menjadikan mereka seorang yang kembali menetap kepada hakikat kehambaan(Ubudiyah) sebagaimana yang dikehendaki; tidak sebagaimana seorang yang mendakwa Sifat Rububiyah Tuhan-Nya.

Maka mengata Muaalif akan makna demikian itu dengan katanya......

Terjemahan Tok Pulau Manis, dari Kalam Hikmah Sheikh Ibnu Athoillah As-Kanddari ra yang berikutnya;

Maksiat yang mempusakai ia akan kehinaan dan Iftiqor, maka keluar hamba itu daripada dirinya dan kembalilah ia kepada Tuhan-Nya terlebih baik daripada taat yang mempusakai ia akan kemuliaan dan kebesaran. Maka keluarlah hamba itu daripada Sifat Ubudiyah kepada mendakwa Sifat Rububiyah. Maka inilah maksiat yang mempusakai Sifat Ubudiyah iaitu yang terlebih mulia sifat.


Zoom A - Program Pembelajaran Secara Interaktif Melalui Internet Yang Tercanggih Di Malaysia

Pelawat: